Sunday, December 7, 2014

Staff D plak buat hal....

Aku ni dah 38 weeks pregnant. Anytime saja.
Semua dah prep...dari segi perjalanan business agar aku tak menghadapi masalah ketika berpantang nanti. Maklumlah nanti tak boleh nak turun kedai check bisness.
Semua packaging, stok dah ready.Tunggu bersalin saja....
Tiba-tiba 'piap' dia bagi.
Staff D menghilang. Dahlah ada oder haritu hari Khamis. Check camera kedai tak buka dah pukul 11....pukul 12.....pukul 1....sampai petang. Apehal? sakit ke, eksiden ke? wassap tak balas (takde double checked pun) call tutup.

Sebab ada order ajak hubby pi kedai. Nasib baik hubby aku ni takde masalah kalau suruh tolong. Time pregnant ni aku tak larat nak buka shutter kedai. Manual beb kot auto senang press button ja.

Tengok kedai takde apa yang pelik cuma kucing-kucing ada di bawah. Patutnya kucing hantar tingkat atas sebelum balik. Tapi najis memang tak cuci sejak semalam kot.

Takpelah aku wrap semua barang (nasib order kecik saja) terus pi pos. Malas nak tunggu poslaju mai. Tutup jelah kedai.

Malam pun takde apa2 mesej atau wasap dibaca oleh D. Memang risau kot ayah dia meninggal ke apa sebab ayah dia sakit. Takpelah esoknya, aku pi buka kedai juga sebab ada order.

Baru perasan ada kunci dan surat dalam pos box....rupanya D dah berenti. Tak terlintas pula dia tak puas hati kat aku. Duk elok2 macam happy je tetiba tulis surat marah-marah. Tak puas hati pasal gaji.

La, kut tak puas hati naper tak bagitau....memang aku nak bagi jagi full time tapi suruh tunggu sat sampai bulan 1. Lani dah bulan 12 pun. Mungkin aku kata nak bagi gaji harian kot dia tak puas hati. Kerja kedai aku ni bukannya buat apa pun. Pagi ja sibuk bungkus barang, pastu relax saja layan wasap atau fb atau surf internet. Bukannya banyak customer. Kot ya pun berenti sms la bagitau ni senyap terus block aku dari kontek dia. Yang paling kecik hati, aku nak bersalin ni....seronok ke buat aku macam ni? Aku layan dia baik selama ni. Walaupun dia buat kerja bukannya tip top. Tapi aku faham gaji sikit mungkin dia takmau buat sapu-sapu kemas-kemas. Sinki sampai hitam aku yang cuci. Aku tutup mata ja. Kadang2 aku sapu kedai sendiri sebab nampak kotor sangat.
Aku ingat boleh harapkan dia. Dia pun macam ok mana tau rupanya ada agenda. Aku dah bagitau masa interview gaji macam mana dan berapa....baru kerja tak sampai 4 bulan dan meraban nak naik gaji plak. Masa apply kerja punyalah nak, angguk kepala takpe gaji sikit saya takmau duduk rumah tak buat apapa pun baik mai sini....lepas tu mula menjadi.

Nasib baiklah sangat staff weekend orang lain Staff E. Kalau aku duk harap dia semua memang naya aku dibuatnya. Aku ni kalau boleh nak hire 2 orang satu masa takut jadi cam ni lah. Kalau cuti ada orang cover tak stranded kena tutup kedai atau tutup kedai awal...tapi buat masa la ni dengan job nak bagi pun tak banyak, sorang cukuplah. Layan wasap je pun sepanjang hari.

Apa-apapun, nasib baik aku tak bersalin lagi. Sampai saat ni aku doa kat Allah supaya aku sempat interview budak lain esok dan sempat train dia. Buat iklan berjabu orang apply. Hey, satu pi 20 mari la....gud luck lah in your new job beb.

Hang tau aku amat memerlukan hang masa ni. Hang pun tau aku nak bersalin anytime tergamak hang no? Takpa biar Allah uruskan. Nanti hang pregnant nanti baru hang tau perasaan aku. Hang buat aku camni....

Kut nak resign pun resignlah secara elok bukan macam ni....aku boleh terima kalau dia sms aku bagitau 'kak, saya nak resign esok saya tak pi dah'.  Tak lah aku terkapa-kapa tertanya-tanya....orang mcam ni pun ada. Macam-macamlah....

Lepas ni memang aku tak kan bagi muka kat staff. Sebab apa bos berperangai macam siol? sebab macam ni lah beb.

Saturday, November 22, 2014

Dugaan November 2014

Dugaan bulan ni....

Recap balik.
1. Kena tipu dek babi-babi Nur Warisan. Terpaksa hayun perut ke balai polis. Dah buat repot kena buat statement kat balai polis lain plak....penat tau hayun perut sana-sini.

2. Item hantar ke customer kat Sabah kena tahan sebab basah. Kebetulan memang ada hantar cecair kat dalam. Siap kena tulis email kat customer service pos. Nak pi pejabat pos isi form memang aku dah sarat tak larat kot nak beratur berdiri lama-lama. Nak potong line tak sampai hati. Nasib baik customer memang selalu beli kat kita so dia tak marah. Dia sabar sangat. Ingat nak refund kalau barang undelivered. Akhirnya pos deliver juga dan takde apa-apa yang basah/tumpah kat dalam. Customer kata barang semua ok. Syukur sangat...

3. Satu lagi nak kena buat repot polis tapi aku tak larat. Tong sampah kena curi. Tong sampah premis. Dalam beribu tong sampah kenapa tong sampah aku gak dia berkenan. Memang aku laknat sapa yang curi tong sampah kedai aku ni. Kalau nak tong sampah ganti kena buat repot polis dulu.....aduih. Silap haribulan terberanak kat balai kot. Ni tunggu hubby aku free baru nak hayun perut sekali lagi ke balai dan pi pejabat environment idaman ambil tong baru....

4. Tetiba ada customer email kata nak refund barang tak sampai. Nak refund. Order bulan 9. tapi bagi order id salah. Taktau betul ke dia order dari kedai aku. Ni masalah tak settle lagi kalau betul barang dia undelivered aku issue store credit je sebab dah lebih 15 hari. Kena check dengan shipping company dulu dah sign ke blum. Sapa sign? Kalau dah sign there's nothing we can do. Barang dah deliver.

Dugaan tak tara mana pun kalau banding orang len. Cuma aku agak risau la dengan kedai....semoga aku sentiasa berfikiran kreatif, positif dan tidak putus asa. Amin.

Sunday, November 16, 2014

Week 35!

Third trimester....at last.
Memang aku bersyukur aku boleh mengandung. Senang. Buang implanon tak sampai sebulan dah lekat.
Tapi pada aku, pregnant ni satu penyiksaan....(maaf)
Ada orang suka, happy rasa comel rasa lawa....tapi aku akan berperasaan sebaliknya. I feel ugly.
Especially bila dah akhir2....

Well, dari segi kesihatan Alhamdulillah takde masalah. Aku memang memilih untuk checkup bulanan di swasta so tak perlulah lalui checkup klinik kesihatan yang agak leceh. Dan aku akan jumpa doc pakar yang akan sambut baby aku setiap kali aku pi checkup. Ada soalan tanya jer doc....

Cuma, sebab aku ni kurus kot. Bila perut dah besar memang obvious sangat. Aku nak jalan pun tak larat. Miss V aku pun bengkak macam kena sengat lebah start second trimester. Suami aku pun tak berani nak sentuh aku lepas Miss V bengkak. Bila baby dah bergerak sakan lagilah dia takut....biaqlah lega aku :)

Buasir pun ada.... adeh.

Suami aku takut tengok tahap kebesaran perut. Sebab besar sangat. Dia risau samada aku boleh bersalin ke anak besar....boleh keluar ke?
1st baby: 3.8 kg
2nd baby: 3.4 kg

Baby aku semua keluar besar....normal delivery.

Kaki pun naik saiz....jari dah tak leh pakai cincin. Aku takde varicose vein timbul tapi ada urat-urat timbul di bahagian paha. Dan baru2 ni baru perasan ada urat biru di belakang kaki kanan....takut tengok. Kaki dan tangan dah kebas-kebas. Kena selalu picit-picit. Syukur tak kena cramp kali ni. Gusi pun agak kurang berdarah dari dulu. Kalau tidak....berus gigi pun keluar darah....menakutkan.

Kencing....tak yah cakaplah. Tak larat ulang. Keputihan....teruk sebab Miss V bengkak. Aku tak leh jalan macam model. Aku jalan macam .... pengguin.

Bila doc cakap lagi 2 minggu dah cukup masa....aku rasa happynya! Semoga cepatlah baby keluar dari badan mama. Mama tak larat angkut 12 kilo hari2.

Semoga semuanya selamat. Semoga anakku comel. Amin.

Wednesday, November 5, 2014

Kena tipu dek Nur Warisan Kawalan Serangga

Sedih tau.....just copy from my FB wall sebab malas nak tulis dah:

"Hari ini aku kena tipu oleh syarikat kononnya pest control 'Nur Warisan Pest Control' kena share juga di fb sebab depa ni dah lama berleluasa dan target perumahan dan premis perniagaan di kawasan utara ni. Harini aku kena, Esok lusa mungkin you atau kawan2 you kena plak. Baik aware. Dijadikan cerita harini aku pi kedaiku awal sebab ingatkan staffku masih sakit so kenalah cover dia. Selalunya lepas lunch baru pi kedai. Tetiba ada sorang pakcik melayu ni berpakaian ala2 pegawai mai kecoh-kecoh kata nak buat operasi pest. Semua premis kena buat....cepat2 suruh chop. Staff aku bagitau aku...pakcik ni memang buat kalut (mungkin dah pro) kecoh-kecoh kata wajib ni operasi dari hujung sana sampai sini. Kena buat takleh tak buat. Walaupun rasa sangsi sebab tengok resit macam ntah apa2 tapi ntah mengapa rasa macam bodo pi cop dan sign dan bayar rm120. RM120 banyak tau kononnya sebulan 20. Ni servis untuk setahun....Lepas tu dia kononnya spray la ubat pest macam apa....(patutnya kena tebuk lubang apa bagai untuk pest kan?) then blah....lepas depa blah rasa eh...macam kena tipu. Terus keluar tanya kedai sebelah depa ada mai tak? ada mai 3 bulan lepas tapi dia call mpk....mpk kata itu tipu. Kalau operasi apa2 kita tak perlu bayar apa2 pun...terasa geramnya sebab kena tipu. Surf internet rupanya dah ramai kena. Nasib baik ada cctv. Kejap lagi nak pi buat repot polis walaupun tak jadi apa2 pun kalau buat repot....buat pi lah biar ada rekod. So, kawan2 yang ada premis silalah berwaspada banyaknya penipu.....jadikan pengajaran. Kalau ada lagi kesangsian telefonlah jabatan yang berkenaan dulu. Atau konfirm dengan kedai/jiran sebelah...."
— feeling down.


Sebenarnya tak pasti lagi samada nak repot polis ke tak.....esok call dulu ipd kulim. Nanti penat aku pi ipd tengok2 kes terpencil (memang pun). Aku tak larat dah ni, Dah sarat takmau penatkan badan pi buat aktiviti tak berfaedah.

Sampai hati pakcik tu tipu aku yang sarat mengandung ni. Dah ler sama-sama bangsa Melayu. Dah ler kedai bukannya ada customer. Tunggu walk in adalah seminggu sekali....sekali dia tipu, habis duit sales aku.

Sebenarnya bukan sebab duit aku marah....sebab kebodohan aku. Adakah aku dipukau sebab time tu aku rasa cam kena tipu tapi still ikut kata dia. Dalam opis pun aku tengah alunkan ayat al-quran time tue.....dan memang aku amalkan ayat "Bismillahillazi La Yadurru...." tapi mungkin rezeki bukan milik aku. Surf internet rupanya ramai lagi kena tipu, dia memang fokuskan premis perniagaan. Bayangkan, satu kedai dia dapat RM120....10 kedai? 20 kedai? 50 kedai? Tapi memang kalau makan duit tipu takkan cukup....semoga pakcik tu dan member dia dapat balasan daripada Allah SAW. Kalau bukan di dunia, di akhirat nanti takkan terlepas....

Kejadian ini buat aku rasa lebih tak percaya kat orang....dah aku pesan kat staff, kalau orang mai, jangan buka pintu dari kaunter, kita pergi buka sendiri di pintu dan tanya nak beli/tengok barang ke?. Kalau rasa sangsi, terus alihkan tanda 'open' kepada 'closed'. Sejak beroperasi kat kedai baru ni rasanya memang banyak yang mai minta duit dari bagi duit....


Babi ni sentiasa tunduk bawah...dia tau aku ada cctv. Memang suspicious.

Ni babi satu lagi....semoga nanti mati mayat bertukar jadi babi. Hidup menipu orang....


Update: 6/11/14:
Selepas semalaman berfikir samada nak repot ke  takmo repot nak repot ke takmo repot....esok paginya; Kena repot juga sebab kalau tak repot penat saja aku bising2 tapi tak ambil tindakan. Takde point. Walaupun repot tak ada kesan apa2 pun kat depa2 nie...So, aku ajaklah staff aku pi buat repot sebab dia pun terlibat.
Oleh sebab si pelaku ni pro. Kita tak boleh kata depa ni menipu cuma boleh kata kita tak berpuas hati dengan perkhidmatan sahaja. Bukan under section menipu. So, kes ni dirujuk di bawah KPDNKK.
Aku sempat tanya inspektor: Tuan kalau depa ni mai lagi apa patut kami buat?
Tuan tu kata telefon polis terus. Dia siap bagi no phone mobile dia....bagus. Lepas ni kalau ada masalah kesangsian/rompakan ke hapa ke....tepon dia terus. Ada guna gak buat repot. Dapat nombor inspektor.

Jadi, aku pun dah print out semua no tel jabatan kerajaan/emergency di Kulim ni untuk di tampal di kedai. Apa2 kesangsian, rujuk dulu. Jangan gabra jangan panik. Tarik nafas hembus nafas. Baca Bismillah.....ada banyak cara penipuan. Cara yang depa ni guna ialah: Create sense of urgency.
Kejadian ni memang satu pengajaran.

Update: 25/03/2016
Wah...ghamai yang baca, harap depa ni berhenti lah dari buat kerja tak senonoh ni...dah 2 tahun. Kedai akak pun dah tutup di Kulim tu. Lepas kejadian ini, akak selalu tak bersangka baik...tak boleh nak bersangka baik....bila buat bisnes, kita cuba jadi baik, bersopan, tapi...malangnya, ramai yang akan ambil kesempatan...so jadilah tegas di sebalik kesopanan kita...


Friday, October 3, 2014

My DIY Pregnancy Shorts



Jom jahit. Lama tak jahit dan buat tutorial konon nie....
Staff A pun dah berambus. Syukur sangat2.
Harap tak jumpa makcik hipokrit macam dia dah. Benci tul orang hipo ni.

I am 7 months pregnant now and getting very uncomfy with everything. I am huge....baby is moving like crazy. Short of breath. Pee a LOT! Seluar semua x muat. Seluar jalan2 ok boleh beli. Tapi seluar nak pakai kat rumah....nak beli agak mahal...online semua. Kat pekan koboi ni tadak. Kalau ada pun mahal. Shorts saja pun....sampai RM29. Tak berbaloi! So, cuba buat sendiri.

1. Supply: kena ada contoh shorts. Getah pregnant (yg ada lubang butang banyak2 tue) dan kain.

2. Maaf gambar pakai phone saja. Lipat kain tu...bagi ada 2 lipatan sama cam shorts contoh. Ira kain tak penting sangat. I pun takde software nak tanda anak panah. Pandai2 hangpa semua ikut ira contoh shorts masing2.




Faham kot no?


3. Trace lah dari seluar contoh. Tak perlu memeningkan otak buat pattern bagai. Tambahlah 1 setengah inci untuk lipat kelim. Kat pinggang dalam 2 inci.

4. I nak buat low cut shorts. So i measure berapa low i nak turunkan dari bawah pusat ke crotch. Sebab I tak suka pakai benda yg cover perut boyot. Panas especially kat rumah...tak koser. Measurement I ialah 19cm. I tambah sikit untuk lipatan kelim jadi 25cm. Pastu tanda.

5. Dah siap potong jadi lah 2 helai kain yang akan dijahit sebentar lagi. Ada garisan biru tu yang I tanda tadi. Potong bahagian depan saja. Jangan potong semua.



6. Pastu, cantumkan kain 2 lapis tadi. Bolehlah mula jahit di bahagian lengkuk. Jangan jahit semua plak....lengkuk saja. Nampak tak yg I tanda dengan pin head tu. Jahit situ.

Dah siap bila buka jadi macam ni.....ada rupa seluar.

7. Pastu jahit bahagian crotch pula...

8. Dah siap, buat kelim kat bawah seluar. Jahit...


9. Buat kelim bahagian pinggang...pin dulu.

10. Cari bahagian sisi yang sesuai untuk buat lubang butang. Kat sini nanti akan dimasukkan getah. Lukis besar mana nak jahit lubang butang. Tukar tapak mesin dan jahit....(I pun tak pandai jahit lubang butang). Praktis dulu kat kain lain. Bila konfiden baru buat betul2. Jahit bahagian atas saja. Maksudnya bila lipat kelim takde lubang kat bahagian luar. Bahagian dalam saja ada lubang butang...
Ini kan dah tanda, buka balik pin, jahit lubang butang.

Lepas siap jahit, lipat semula.


Dah siap jadi camnie....tebuklah kat situ...Lipat semula.


11. Lepas tu, teruskan jahit kelim di pinggang.

12. Dah siap, masukkan getah...satu getah matikan pada kain. Satu lagi lepaskan keluar.
Lepas tu, jahit butang kat getah yg dijahit pada seluar tadi. Carilah butang yang agak besar untuk dijahit pada hujung getah yang ditarik keluar supaya getah tu tak lari masuk dalam balik....


Bolehlah dipakai ketika memasak di rumah....sekian.

Monday, September 8, 2014

Sakit Hati Dengan Staff A

Salam....ntah kenapa rasa dipergunakan oleh staff A. Kalau ada baca pasal masalah staff aku dulu mesti ingat siapakah staff A. Sakit hati rasanya.
Syukur A dah jadi x-staff aku....panjang kisahnya. Malas nak ingat sebab banyak sangat. Kalau aku rewind otak ni....banyaknya kesempatan yang diambil oleh A.

Kan A ni susah....so niat aku nak tolong dia. Tapi nampaknya dia gunakan aku untuk kesenangan dia....rasa macam dia ni macam apa orang panggil tue....hisap darah? gold digger?
Dia ni tua dari aku tapi life dia sangat macam wasted sebab tu aku kesian. Anak merenyut, suami plak tak keje....
Walaupun masa aku duk tolong dia dulu....aku rasa dia ni macam pelik tapi rasa kesian aku tu melebih sangat....
Malas nak tulis kisah yang memeluatkan hati.
Sekarang ni aku rasa benci....
Bukan senang aku nak benci orang tau sebab aku ni jenis baik hati.
Dia sekarang ni menumpang kat premis kedai aku....duduk tingkat atas. Walaupun dia tak kerja dengan aku dah. Tapi langsung tak tegur aku....betapa mudahnya dia lupa. Patutlah hidup dia macam nie. Walaupun dia dah tua tapi dia tak matang.
Kalau ikut aku mau jer aku lempar barangan dia keluar. Belakang aku dia kutuk aku....aku yang bagi dia bumbung semasa dia susah....
Nasib baik aku pregnant aku tak mau bertindak kejam lagipun aku ni orang baik2 bukannya pendek akal macam tu.
Aku stress bila teringat kat dia dan cara dia memanipulasikan aku dan target aku bila dia nak apa2 bantuan. Aku meluat tengok dia yang asyik gunakan perkataan orang alim-alim padahal solat zuhur pun pukul 4 petang....meluat aku fikir atau teringat muka dia. Meluat teringat dia selalu ambil itu-ini dari kedai aku....

Walaupun aku bersyukur sebab kejadian ni memang diaturkan yang Maha Esa....kalau tak jadi macam ni dia masih bergantung kat aku.

Oh, aku pun dah hire staff baru, si D. Syukur dapat yang lebih baik. Lepas ni memang aku tak akan hire orang yang aku kenal. Lebih baik hire someone new. Must be younger than me not older. Semuanya pengajaran, Aku memang akan lempar semua barangan dia keluar dari premis aku selepas due date yang aku bagi kat dia suruh blah. Jangan harap dia nak jadi parasit lagi dalam hidup aku!

-parasit tudung labuh-

Thursday, August 14, 2014

Di saat macam dah mencapai mimpi kenapa ku rasa resah?

Mai nak update secara ringkas, sebab lama gila tak tulis kat blog hari tua ni...nanti tua tak ingat aktiviti masa muda kan?
Ntahlah mungkin hormon mengandung atau masalah perniagaan yang membuatku resah dan stress tengah malam.
Kandungan dah stabil....tak muntah dah. Syukur sangat dah boleh makan. Masa dalam bulan puasa still termuntah sampai 28 Ramadan. Elok Syawal....it's over. Walaupun begitu, aku bukannya jenis makan-makan so, aku makan pun sebab ada baby dalam perut. Hari2 telan soy collagen nak bagi anak cantik dan gebus.

Kucing....rumah aku dah kucing free. Kucing tua ku dah bagi kat mak di kampung. Dengan ketiadaan kucing, kami pun boleh beli sofa baru dan removekan semua cover kerusi urut. Sebelum ni semua kena cover sebab kucing tua tu suka mencakar. Sofa-sofa sebelum ni semua ada kesan cakar dan bekas kencing dan berak kucing. Ada kutu juga. Kutu kucing ni memang tak hidup atas kepala orang tapi akan gigit kulit kita dan menyebabkan kerengsaan. Hisap darah macam nyamuk. Dah ler bersarang kat sofa lama. Walaupun sayang sofa lama, terpaksa buang sebab ada infection kutu. Katil pun kena vacuum dan spray anti kutu. (dulu duk tiduq dengan kucing).

Ntahlah, sejak kematian si Mucit, aku takde mood nak berkucing. Lagipun yg tua ni suka 'menyambut' masa aku balik atau keluar rumah. Aku fobia kut tergelek kucing lagi. Dahler perut boyot malas nak turun keter halau kucing. Ada autogate pun tak guna kalau ada kucing duk ganggu nak masuk/keluar. Baik hantar balik kampung. Tapi...kat kampung dia buat 'hal' plak....kesian mak. Tak tau nak buat camner. Bilalah si tua ni nak 'pergi'...umuq panjang sangat tak larat bela. Dahler tak manja dan suka gigit anak2....kenapa kucing aku aku meluat boleh hidup 10 tahun ++. Hat aku sayang hidup 1-2 tahun saja.

Pasal bisnes....nampak jer macam berkembang tapi kos yang keluar untuk pindah kedai baru sangat besar...walaupun lepas promotion untuk attract locals ku rasa masih tak cukup customer. Kos operasi tinggi dengan kadar sewa, utilities dan upah....produk kena tambah, stock kena maintain....semua ni cukup buat aku stress tengah malam ni.
Walaupun banyak sangat kerja, malam ni takde mood. Sebab baru keluar beribu siang tadi maintain stock...mungkin sebab inilah aku stress. Duit keluar, masuk slow mo amat....keluar-keluar-keluar-

.....

Wednesday, June 18, 2014

Week 14

I still have morning sickness...but it has subsided...
It will get worse in the evening.
I still don't cook.
I can't smell anything especially my neighbors cooking. Hate her! Why she loves to cook so much? Just go eat outside... she has lot's of kids so she cooks everyday...leaving me feeling sick smelling her dish!
I should be feeling better now and morning sickness and nausea should be the thing of my past....too bad.
I lost 5 kilos.
I love to eat fruits but as soon as i consumed any type of fruits, i will throw up.....sigh.
This is my final pregnancy. I don't want to get pregnant again....I got sick.
Hope to feel better in weeks to come.

Thursday, May 22, 2014

Week 10...

Minggu ke 10....azab.
Muntah - muntah dan muntah.
Baring pun sakit kepala, bangun lagilah.
Nak kerja tak leh...denyut2 otak ni. Pening + Mual.
Lebih teruk lagi kena flu infection 2 minggu lepas, sampai harini still ada kahak.
Bila batuk....habis....keluar semua.
Nak makan apa pun tak lalu.
Tengok gambar makanan pun loya....
Sensitif bau even bau badan sendiri pun....
Dapur memang tak berasap.
Anak-anak kesian...makan ntah hapa-hapa.
Geram kat jiran sebab suka menumis...sikit2 dia tumis, sikit2 dia tumis. Loya aku.
Geram jiran suka nyalakan colok sembahyang....pening3x!
Rasa meluat duk rumah teres. Semua bau boleh hidu.
Cepat-cepatlah masa....
Cuba beli ubat kat farmasi untuk legakan pening+muntah ni...
Tak jalan.....ini hormon punya kerja.
Semoga fasa ni cepat berakhir....
Orang lain naik berat, aku down-down-down....

Wednesday, April 30, 2014

Bagaimana hendak mendaftar & mencarum sebagai Majikan di KWSP

KWSP

Bila pekerja dah mula bekerja....maka barulah si Majikan boleh pergi mendafar. Kalau pekerja belum start kita dah terhegeh-hegeh...pegawai kwsp suruh balik dulu...hahaha. Takpe kalau pekerja dah bekerja banyak bulan so bila kita mendaftar, kwsp akan charge caruman tertunggaklah yg beberapa bulan tue.

Majikan walaupun ada satu pekerja, dan pekerja tu layak dicarum..kenalah mencarum. Kalau tidak, kut depa mai check di premis kan tak pasal2 kena denda. Macam mana nak tau pekerja tu layak mencarum ke tak? maka pi lah ke website jabatan tenaga kerja...ada maklumat.

Macam aku, aku tak de bajet. Aku upah part time jer...still kena sebab waktu bekerja lebih dari 14 jam seminggu.

So, samada korang download borang KWSP 1 di website KWSP tu atau walk in ke pejabat KWSP. Baca arahan...isi lengkap. So, siap hari itu juga akan dapat nombor pendaftaran majikan secara sms. Jangan lupa daftar i-account untuk memudahkan urusan pembayaran/semakan.

Nak mancarum pula macam mana? kalau pejabat kwsp dekat, korang pi jelah bayar situ...macam aku ni, takkan nak pi penang plak...dah ler takde parking. Bazir waktu dan minyak dan tenaga. Bolehlah menapak di bank...banyak bank boleh pi tapi aku pi rhb sebab dekat...

You kena print out borang A dulu setiap bulan. Fill in maklumat gaji pekerja, caruman kat you punya i-account, hantar dan cetak. Lepas click 'hantar' maksudnya you kena bayar dalam masa 15 hari dari tarikh 'hantar'. Cetak dan bawa form A tu, dan isi satu lagi form KWSP di bank, dan bayar macam biasa. KWSP akan emel resit pembayaran dah diterima...jangan lupa buat salinan. Nanti depa mai check you takde salinan dah kena denda lagi.

Satu lagi cara ialah daftar DDA (direct debit authorization) di RHB bank. So caruman boleh dibuat online di dalam i-account. You kena pi RHB, print out juga borang A, tanya pegawai dan bagitau you nak daftar DDA untuk KWSP i account. Patutnya lepas 20 hari akan dapat status....aku ni dah sebulan lebih tak dapat2 lagi apa2 jawapan pasal DDA aku....bulan ni kena jengah RHB tanya. Aku malas nak pi bank tiap2 bulan buat benda ni....tambahah lagi perut nak besar.

So, tak lah senang sangat dan tak susah juga...cuma agak leceh. Bukan senang jadi majikan walaupun seorang pekerja. Aku ada 2 (satu part time satu casual) Banyak ragam. Nak advance la sampai 2x sebulan....nak balik awal....mai awal balik awal...aduhai. Rasa macam nak pecat semua orang, kerja sendiri. Tapi kalau nak maju kita kena hire orang...takpe2. It's ok. Lagipun aku pun lagi lama lagi tak larat. Aku layan jelah tapi jangan sampai kena pijak atau di ambil kesempatan oleh pekerja kita. Kita ni kesian2...tapi ada depa nak kesian kat kita....takdenyer...

* update 7/6/14
Alhamdulillah permohonan DDA telah diluluskan. Ingatkan RHB nak email tapi takde pun. Kebetulan masuk i-account majikan check di caruman>bank...dah ada maklumat.
Sebelum boleh guna DDA, you kena activate dulu. Ada check box kecil di bawah untuk mengesahkan samada akaun bank anda itu betul ke maklumatnya...tick kat kotak tu. Lepas akaun bank anda menjadi status 'aktif'...barulah boleh mencarum straight kat website kwsp. Tak perlu lah terkedek2 ke bank atau pejabat. Aku kalau tak reti terus call kwsp call centre...tanya camner camner. So far they are very helpful.

*update lagi - baru saja memecat seorang staff sebab dia malas....suh sapu tak nak. suh mop lantai tak nak...suh kemas kedai tak nak....pastu komplen takde kerja nak buat. Blah!

*Updated March 2016.
KWSP memang mudah nak buat bayaran....start 2015, dah tak perlu DDA apa bagai....buleh terus buat online banking maybank2u. Yang penting ada akaun majikan. Tak macam Perkeso, leceh amat...

-aku surirumah bos-

Friday, April 25, 2014

My pregnancy week 6

Assalam...

Lepas kematian cat kesayangan...aku pi ke kedai seperti biasa. Orang kat kedai kena tengok juga. Ingatkan nak buat kataloq barang baru....kalau duk rumah pun duk sedih wat per kan...

Tengah sibuk-sibuk..tetiba rasa macam period....alamak. Macam mana ni?
Cepat-cepat ke tandas nak check...ish, habislah. Takde dah nih.
Terus pack barang, tak sempat dah nak suruh budak-budak buat reading ke, matematik ke....jom mama nak jumpa doktor.

Ketaq jugaklah. Dah lah lagi 2 hari birthday aku. If anything happens...this is the worst birthday ever. Kucing mati, anak pulak....

Pi check doc, dia pun scan....ada lagi dan dah ada denyutan jantung....Alhamdulillah syukur....
Serius aku ingat dah takde dah....
Masa dia duk cari baby tu kan....risau gila aku.....bila jumpa dot tu...lega.

Bayangkanlah, kalau jadi apa2 nak kena pantang plak. Habis plan baby tahun ni. Apa-apapun aku bersyukur sangat. Doc suruh rehat...dapat ubat kuatkan bayi. Makanlah hari2 sampai next week dia suruh follow up.

Dah tua2 nie...mana sama macam muda. Kita ingat takpe, redah, panjat, lompat....aku still pakai kasut tinggi. Tunggu perut besar baru tukar pakai kasut bata.

Baru 6 minggu, memang loya tapi tak sampai tahap muntah macam kat si Adel. Hopefully it's a boy pulak. Cukuplah gegirl sorang tak terlayan....

Aku dah tak lalu bau ayam...KFC no! Daging no!...selera bertukar kepada seafood.
Tak boleh bau busuk atau wangi....
Lemon + air ais....penawar rasa mual.

Hopefully this pregnancy will be an easy pregnancy. Looking forward to crochet baby stuff but have to wait for the gender....da.



Tuesday, April 22, 2014

Sad days ahead...:'(

Ingatkan nak post tentang...cara2 mendaftar sebagai Majikan di KWSP dan Perkeso....tapi....

Just a short entry for memorial.
Semalam, semualanya bermula seperti biasa, bangun...subuh...kejutkan anak...hantar anak2 sekolah....balik rumah....buat kerja....sampai pukul 10am. Semuanya berubah dalam sesaat.

Aku seorang yang amat sayang kepada makhluk Allah bernama kucing. Tapi entah kenapa aku selalu diuji dengan kematian mereka....Semalam, lepas seekor kucing kesayangan mati, aku berasa sangat pilu dan asyik bertanya kepadaNYA kenapa selalu macam ni?
Minggu lepas seekor hilang tiba2...penat cari. Rindu pun tak hilang lagi dah satu lagi mati pulak....aduh. Baru semalam....so bila terkenang dan terbayang mesti menitis air mata. Bila tengok tempat2 yang dia selalu tidur.. Setiap kucing ada personality...walau ambil kucing baru tapi tak sama dengan yang dah takde.

Aku bukan jenis mudah lupa...if time could heal....not working for me. Sometimes, i remember all my dead cats...sound freaky. Kucing dari aku budak2 sampai sekarang....banyak....sedih. Tambah lagi 2 ekor masuk dalam memori aku.
Dah takde dah kucing yang selalu sapa aku pagi2...takde dah deringan kalung bila dia berlari naik atas bila aku buka pintu...takde dah kucing yang suka gigit jari kaki kami (aku dan husband)...takde dah kucing yang suka memburu bawa balik hasil buruan,,,hanya tinggal kenangan.

Rasa macam serik nak bela kucing sebab bila dia mati, sangat sedih....kucing bukan sekadar kucing...kucing tu ada perasaan, tahu berfikir...tahu aku marah ke suka ke....binatang misteri. Memang orang yang tak faham tak akan faham....kenapa aku nak sedih2 sangat...kucing je pun, cuba tengok MH370...hilang.

Kucing tu sahabat aku....macam orang. Ntah bila pula aku akan ok dari emosi ini. Sebab aku tak nak ambil kucing baru. Selalunya aku cepat2 adopt kucing baru untuk hilangkan rasa kosong dalam hati. Biarlah kucing yang ada sekor ni sudah....akhirnya hanya tinggal Bubu as always.

Mungkin sebab aku baru pregnant, those cats knew...decided to go away.

Those friends reading, please don't mention about my pregnancy in FB. Promise.
 Have a brighter day ahead.
Mucit

Ponggo

Wednesday, April 9, 2014

Masalah staff...

Bila ada staff, mulalah masalah timbul.
Aku ada 2 setakat ni. Both part time. Satu cover weekend.
Yang A keje weekdays. B keje weekend.
Yang A ada masalah keluarga dengan suami. Mai lambat, pukul 11.30 baru nak datang. Pastu nak balik awal. Selalu sakit. Baru2 ni minta cuti 2 minggu, ok katanya nak balik kampung tenangkan fikiran. Pastu ada C mai ganti. C masih bujang senang cerita. Rupanya A tak pulang ke kampung, di pi buka gerai goreng pisang....time dia 'cuti' tu, anak2 keduanya kena chicken pox bersilih ganti. So, tak bolehler turun kedai sangat. Tapi terpaksa usung anak2 chicken pox juga sebab C tak pandai sangat dengan urusan kedai. C pun lepas tu terkena jangkitan chicken pox. C ni rajin juga lagipun dia single senang...bila dia dah kena infection tak boleh datang, aku panggil A mai balik keje. Barulah tahu, dia pi buka gerai....sakit hati gaklah. Then, aku nak ambil C jaga weekend. Oklah dia kata lepas dia ok dia datang. Tetiba. sms kata tak jadi keje...ada masalah peribadi. Rupanya bergaduh plak dengan A....oklah kalau taknak aku cari orang lain.

Dapatlah si B. si B ni aku tak kenal sangat peribadi tapi nampak macam jujur. Orang susah. Dulu masa sekolah takna belajar elok2 sekarang susahlah kan. As usual mesti ada masalah dengan suami...malas aku nak ambil tau. Bukan masalah gua. Aku terangkan kat dia, you keje weekend. Sabtu & Ahad sahaja. Tup2 hari Isnin dia mai nak buat keje. Aku terkejutlah, you tak faham ke? (dalam hati) dahlah nak bawa anak mai keje plak....takde pengasuh katanya. Kebetulan haritu si A nak balik awal aku pun sibuk nak ke bank urusan KWSP, so aku suh dia jaga. Tapi hati tak sedaplah...apa masalah dia ni.

Yg si B ni suruh A keje half day, dia half day (behind my back)...mana buleh buat kerje separuh2...A bagitaulah aku. B ada sms A kata dia perlu duit nak pinjam...Aku tahu depa ni 2-2 susah. Tapi aku pun ada masalah sendiri.

So, semalam aku bagitau si A kena mai waktu bila balik bila. Janganlah nak balik awal. Takde keje nak balik baik aku keje sendiri. Oklah aku cakap baik2 siap buh business hour kat kedai harap dia faham. Kalau tak nak boleh resign jer. Rugilah aku bayar prepaid kat dia kalau asyik mc...balik awal.

Yang satu lagi si B. aku panggil tanya dia faham tak yg dia keje weekend? Aku tak mampu nak hire 2 orang bukannya banyak kerje pun. Daripada hari sabtu, aku kurangkan dia jaga Ahad saja. Dan aku suruh dia cari kerje lain sambil2 tu. Hopefully dia dapat keje lain. Anak? memang tak leh bawak mai keje. Aku tak suka budak2 berlarian dalam kedai. Anak aku takpelah. Suka hati akulah anak aku. Maybe dia tgk aku bawak anak siap ada toys, meja kecik, apa bagai dia nak join. Tak bolehlah....nak keje ke jaga anak? Tak adil bagi aku kalau dia bawak anak, gaji dapat, anak pun nak jaga. Nanti customer mai, mana nak ligan anak, nak jaga customer. Kedai aku bukan nursery. So, aku kata kalau takde orang ngasuh. tah yah mai. Duk rumah jer. Dia kata ok, dia faham.Nak keje tak? Dia kata nak...oklah nak keje buat cara nak keje.

Kadang rasa menyesal ambil B. Tak ambil pun takpe. Harap dia berenti sendiri.

I am learning a lot lah...lepas ni kalau nak hire staff memang kena tegas sejak interview. Tak boleh takpe-takpe. Bagitau siap2 rules and regulations. Stress plak sebab depa ni.

Thursday, March 6, 2014

My staff

Syukur sangat sebab dah ada staff....
Sebenarnya aku pun masih belajar menjadi boss....
Seronok sebenarnya jadi boss. Kalau tahu awal2 dah hire tapi takde funds kan dulu...

Akak ku cakap, lepas hire staff, rezeki akan sentiasa ada....betul ke? Hopefully.
Staff aku sorang saja buat masa ni. Lepas ada dia, seriously aku macam boleh tarik nafas....tak perlu tergedik-gedik ke sana sini...nak lepak rumah pun tetiba orang call...kan? cuti balik kg pun orang call....bungkus barang sampai berpeluh, anak pun terabai...kadang2 stress tak bersebab. So Alhamdulillah....harap sangat dapat cari kedai baru lepas ni. Tak perlu duduk blok mara ni lama2....

Staff aku ni sebenarnya aku kenal masa kerja kilang dulu. Aku tak baik sangatlah dengan dia...maklumlah tak sama 'taraf'...tapi aku tahu dia ni anak ramai (6 orang) dan dia berenti kerja sebab tak mampu nak bayar nursery untuk jaga anak dia yg ramai tu....Ntah macam mana, exhibition premis mara tahun lepas terserempak dengan dia dan ambil kontek number....memang aku ingat nak ambil dia lah kerja dengan aku nanti so aku simpanlah no dia. Aku selalu visualize yg aku ni jadi bos...ada staff...(heheh) macam2 lah aku visualize. Mungkin rezeki dia, aku tanya dia nak tak kerje dengan aku? dia kata nak....memang dia perlukan duit pun...lagipun suami dia baru berenti kerja kat kilang. Dia ni oklah aku boleh percaya dan rumah dia dekat kedai dia boleh mai anytime.

Aku hire part time jer...tak mampulah nak full time. Bukannya banyak customer pun. Rujuklah jabatan TK. Ikutlah panduan kerja part time...tak boleh kerja > ? jam seminggu. Kalau lebih, kena ambil full time. Socso & KWSP kena bagi...aku ni memang pening time first time nak bayar socso/kwsp.....aku belajar banyak benda baru pasal jadi majikan. InsyAllah nak kongsi cara2 buat caruman dan sumbangan nanti. Sebab memang takde panduan untuk majikan kecik macam aku ni...

InsyAllah, nak hire sorang lagi untuk cover weekend....part time jugak. Semoga rezeki murah lagi. Amin.

Monday, February 24, 2014

Feel awkward..

I kan, bila tetiba orang mai ngadu masalah pasal rumah tangga...seriously, rasa awkward tapi i layan jelah...
"ye ke...ooo...ok....hmm....really?....ish3x, sabo jelah ye..."

Harini kawan...mai ngadu. Kesian jugak kan orang ada hubby ego tahap gaban ni. Nak tolong tak leh, so tolong dengar jelah bagi dia release.... jangan duk pendam nanti jadi gunung berapi sekali meletus jenuh...

I pun ada masalah juga dalam rumah tangga tapi I tak rela la nak citer kat orang lain...biarlah I tanggung sendiri. Lagipun kan tak baik kan citer pasal rumah tangga kat orang....kalau ada tak puas hati, i bagitau confront dia jer. Kalau susah sangat, i sms or email. Fb pun ada.

Bagi i, dia (suami) is my best friend with benefits. Kami selalu sembang, berbual about things...not about kids la. I malas citer about kids kadang2 adalah benda menarik tapi kalau asyik citer pasal anak2 boring juga kan.... selalu duk citer dia pasal customer, pasal my business, asking his opinion about this and that...about my friends, politics, dunia...masalah dunia, pasal citer korea yang kami tengok sama-sama....macam2 lah sembang dengan dia.

Apa-apa pun, I bersyukur sangat dikurniakan suami yang memang tak sempurna tu tapi dia sangat memahami dan tak pernahlah tinggi suara, tunjuk kuasa tak tentu hala, tak support time i marah anak2...(dia mesti support), i pun mesti support dia (masuk belah dia) time dia marah/ajar anak... dan dia takdelah kongkong i, takdelah asyik ingatkan i yang i ni bini kena ikut cakap laki...takde. Takdelah duk ungkit syurga i duk bawah kaki dia....takde.
Me also, takkan tinggi suara tunjuk jadi queen control ke hapa, never tak layan him (if you know what i mean...), kalau dia nak minum teh, aku buatkan sambil hembus doa pelembut hati (heheh), tiap2 hari masak (walaupun i tak ingat apa i masak), always know my role as a wife. Never angry with him about household matters, money? jangan berkira. Duit ni selalu penyebab masalah so jangan berkira TAPI jangan asyik guna duit sendiri sampai dia lupa yg perbelanjaan rumah/anak2 tu tanggung-jawab dia. Sebenarnya bila dia tak berkira pasal duit, rezeki memang asyik bertambah-tambah jer.

Kita sebenarnya hanya perlu tahu role masing2 dalam rumah tangga...easy huh? Easy to say lah-

Bila dengar masalah orang lain dengan suami dan perangai suami depa, (aduih kalau i tak tahan beb)...
Rasa macam nak balik rumah peluk cium suami i...(18SX)






Tuesday, February 18, 2014

To be a housewife or not to be a housewife...

Dah banyak kali bincang topik ni just freshen up a bit.
Bukan apa, selalulah nampak update about..."seronoknya jadi housewife....harini cuma bungkus barang, jaga baby, masak untuk husband"... daripada seseorang yang berkerjaya tetap dan ada biz online sampingan.

Pastu ada plak bunyi macam ni "Rugilah jadi housewife....penat je belajar tinggi-tinggi"
Lagi, " Harini jadi bibik...." (bibik dia cuti hari tu) - seronok ada bibik kan?

Banyak lagilah...ingat nanti i hapdet.
Berdasarkan pengalaman sendiri sahaja,...

Perlulah diingatkan, jadi housewife ni maksudnya takde gaji ribuan ringgit masuk dalam akaun bank di hujung bulan. Sebulan ok lagi, dua bulan....hrmmm....3 bulan rasa macam tak leh nafas dah, hahaha.
Hidup bergantung suami....duit. Duit duit duit semua refer dia. Tak semua suami sanggup bagi elaun kat isteri tau. Takde lagi beli kasut tiap minggu....Bila nak beli kena fikir, adakah ini keperluan atau kehendak? Kalau kehendak, letak lah balik barang tu kat tempat dia.

Dan, dulu masa kerja, ingatkan chores kat rumah tu bolehlah clear lepas jadi suri, rupanya tidak....lagi teruk. Ingatkan boleh goyang kaki tengok tv....rupanya takpun. TV tunggu anak dan suami balik baru nak bunyi.

Ikutlah husband you, kalau dia nak you jadi housewife, tak kiralah you ada phd pun, you kena taat.
Tapi pastikan husband you bagi duit belanja kat you lepas you berkorban. Takkan nak jual nasi lemak kot setakat nak beli kasut sekolah anak, baik pi kerja kan? Suami kena reasonable lah...Jangan tunjuk kuasa tak tentu hala.

You are not wasted pun kalau you decide nak jadi housewife...ada orang kata "Wasted lah jadi housewife, tak mambantu ekonomi negara'...tudia ayat dia, saper kata, taklah. Dengan menjadi suri, kita ada lebih masa dengan keluarga di mana akan menjana minda untuk meningkatkan prestasi kerja suami dan anak2. Segala pengetahuan you masa study di uni boleh diaplikasi kat anak2 you...

Orang kata "You takpelah, you housewife, seronok boleh jaga anak 24 jam.Takde stress dari boss..."  - betul3x. Tapi rimas oiii jaga anak 24jam-7hari, suami pun tak tolong sebab kita dah jadi housewife kan...Dulu masa kerja, dia tolong juga mandikan, tukar lampin. La ni, semua lempaq kita jer. Stress walaupun seronok. Sebab tu kes anak hilang, anak lemas. anak 5 tahun tetiba xcident..semua mak2 dia housewife jer tapi tak jaga anak dengan baik dan biar lepas merayau.

Ada pros and cons la...semua wanita/ibu (yang takde maid dan tak duduk dengan mak bapak) memang kena buat chores tak kiralah you kerja ke, duk rumah ke, chores never end...ada je kena buat. Kalau kita takde baru husband terasa kan...? Pastu depa kawin lain ha3x!

Kalau tanya I, I seronok....I boleh pi pasar anytime, pi tesco...anytime, pi KWSP...pejabat kerajaan, klinik anytime, shopping anywhere anytime because i don't have to ask permission from anyone (except my husband lah).
Tapi, kalau I stay at home just do chores, I jadi stress pelik, moody gila, emo tak tentu hala....dan malangnya anak i jadi mangsa i marah, i jerit.... Kesian tau. Sampai cakap pun lambat kena pi therapy apa bagai.
Suami pun I tak layan....Nasib suami i faham sebab dia gak suruh i resign dulu.
Sebab i takde dunia luar,...i jadi macam 'ntah' (not myself), sebab dah biasa jumpa orang kan so bila tetiba kena duduk rumah tu memang susah nak adapt. Tapi nasib baik kan buat bisnes...Sebab tu Islam memang galakkan kita buat bisnes....biarlah kecil janji ada duit sendiri masuk. Takdelah gantung laki sangat.

Lepas dapat kedai (lepas 3 tahun duduk rumah), barulah I ok, dah keluar jumpa orang semua....baru rasa happy dan seronok. Enjoy my time with kids and husband.

I never regret my decision to resign.

You have to be a happy person to raise a happy family. :)

It's ok. No need to feel guilty when leaving kids with caretaker. You do what you have to do. Just be yourself and be responsible and be happy.

Saturday, February 8, 2014

He's catching up...

Lepas guna writing claw tu, dia pun dah ok...sekarang ni dia dah tak perlu pakai dah. Aku tengok (curi-curi) masa dia melukis dia dah memegang pensil dengan betul. Kalau kat rumah tu, bila dia terlupa cepat2 ingatkan 3 finggers!!!
Sebab...kat sekolah tu tak semua cikgu bagi pakai benda tu. Ada satu cikgu ni dia tak bagi. Kebetulan cikgu tu gems so anak aku ni balik sekolah duk mengadu, cikgu gumuk tu garang...dia tak bagi pakai...pastu mulalah taknak pi sekolah la takut....nak pi sekolah kecik (sekolah adik dia)...
aku kata jangan panggil cikgu gumuk...panggil cikgu besar...pastu anak aku tanya lagi kenapa cikgu tu gumuk...alamak! budak2 kan frank, dia ni kalau jumpa orang badan sedap kat supermarket sesuka hati jer sebut perkataan tu. Aku takut orang tu terkecik hati jer.
So aku jawab la...kadar metabolisma dia rendah sebabtu dia besar...pastu dia pun tak faham...hahahah. Biaqlah.

Cikgu tu pun...budak baru darjah satu awatnya garang sangat ntah....hish. Kut tak suka jadi cikgu resign ler. Jangan lepas kat budak kan?

Anak aku ni duk kelas nombor 3 kan...kelas last sekali tapi aku rasa macam cikgu2 dia lebih concern sebab dalam tu semua budak bermasaalah yg tak leh membaca. So depa suruh beli buku 'Bacalah Sayang' RM10 sahaja... so, hari2 budak ni balik megeja. Buku tu plak susunannya bagus dan cepatlah untuk bagi budak baca. Kalau bacalah anakku tu macam slow kan....hat ni macam express sket. Kenapalah aku tak jumpa buku ni dulu. Nanti I upload pix buku tu so ibu2 bolehlah cari kat kedai buku...manalah saya tahu. Ini anak sulung saya.

Bukan nak kata, homework adik 4 tahun lebih susah dari homework abang....kadang2 abang takde homework atau homework sikit sebab cuma bawa balik yg tak habis buat di sekolah. Yang adiknya...sampai 2-3 buku. Layan jelah homework2 nie...da!




Wednesday, January 15, 2014

Writing Claws....


Pic courtesy of google

I think my kid needs help...
BM lah, anak aku si adam yg dah masuk darjah satu tu, still tak memegang pensil dengan betul. Sejak umur 4 tahun dia pegang macam...tak tau nak explain. Tapi pegangan yg salah. Bukan aku tak suruh dia memegang dengan betul tapi lepas aku suruh, dia kembali memegang secara macam jemput cucuq.

Masuk tadika 4 tahun, aku tak risau sangat sebab time tu, lebih risau pasal dia tak boleh cakap.
Masuk tadika 5 tahun, bagitau cikgu suruh ajar dia pegang pensil tapi cikgu dia kata dia tak mau ikut ...
Masuk tadika 6 tahun...sama. Aku mention kat cikgu pasal ni tapi cikgu kata dia suka kembali memegang pensil secara jemput2 selepas disuruh kira macam spontan dia kembali memegang macam jemput2.
So, tulisan dia jadi besar tak boleh normal macam budak lainlah. Dan, kalau dia pegang tak betul, dia akan cepat lenguh dan tak nak buat kerja latihan dia lah. Kat rumah pun, aku mesti suruh dia pegang pensil betul2 tapi last2 dia jadi fedup dan merajuklah...aku harap dia insaf dan berubah bila matang. 

Tapi sekarang dia dah darjah satu...aku semakin risau lepas baca satu blog (tak ingat blog apa) pasal anak dia ada masalah apa ntah kena jumpa pakar psikologi, tapi baru 4 tahun....amazingly (ada gambar anak dia di situ) anak dia boleh menulis dengan memegang pensil dengan betul....crap. I am in denial again!
Barulah google...(sebelum ni never give a damn pun to google about children cannot hold pencil correctly)...yes it is a problem especially if the child already goes into primary school....

Rupanya...ada alat untuk membantu...iaitu...alat di atas..persoalannya ada djual kat Malaysia yg indah ni ke?
Google lagi...ADA! online at mysen...beli. Mahal!!! RM20 ea. Beli 2. Depa charge shipping mahal amat, double shipping price yg sepatutnya.

Lepas barang sampai, terus aku terangkan kat adam...ini mama beli untuk adam supaya adam dapat menulis dengan betul...adam cubalah, dia pun cuba...
Aku ingat dia nak memberontak (macam selalu)
Amazingly, dia suka dan cuba masukkan jari dia kat dalam lubang2 tu...dan buat homework dia....pandai dia masukkan pensil kat tengah lubang benda writing claws tue...really hope you could write right son.
Esok dia nak bawa pi sekolah katanya...(harap cikgu tak marah kot)...kalau cikgu marah camner ek? Kalau cikgu tak benarkan, kita buat di rumah jelah...mungkin cikgu pun tak tau kewujudan benda nie...

Tuesday, January 7, 2014

Still Adapting to School Runs

Dah sekat seminggu si Adam ni mula bersekolah darjah satu.
Dia kata seronok...Harapnya takdelah masalah buli ke apa bagai yg tak sedap di dengar.
Sangat berharap dia dapat belajar dengan baik...sambil buat latihan yg aku beri sendiri di rumahlah.

Memang aku kalut lah...dari kedai nak balik ke school, naik bukit turun bukit....serius lama2 rosak enjin kereta. Rasanya esok nak lalu kat kawasan kurang berbukit. Minyak plak....aih cepatnya habis.

Pastu kan, satu masalah ialah....aku tak leh kerja lama2, masuk kejap dah nak kuar plak dah....pastu time shipping pickup lari plak. Hat keretapi ni, time ngam2 aku kuar ambil anak. Lepas tu depa ni tak patah balik dah....macam terlepas keretapilah plak...feninnn.

Jadi, aku terpaksalah sangat nak menghire staff sebab aku dah tak cukup tangan. Benda macam ni kalau juggle juggle nanti habis terabur semua atas lantai...hopefully lepas ada staff bolehlah aku bernafas sket kot. Benda remeh dan bungkus2 bolehlah dia buat. Kalau dia serius, bolehlah ajar benda-lain....aku pun adalah masa nak buat marketing sket...

Duit gaji tu Insyallah boleh diusahakan...bukan tetap, tapi part time ajer. Apa-apa pun kena ikut guideline yg ditetapkan oleh gomen...seruis tak mampu la nak hire gaji 9 rat tue...kira jam saja. Orang nak keje dah ada, cuma nak daftar socso, kwsp tu mungkin makan masa nak pi...kwsp takde di kulim yg indah ni...tara nak plan pi seberang jaya, bilalah boleh pi. Esok call socso, jabatan tenaga kerja dan kwsp untuk mendapat info... aku tak mau dikenakan penalti ke apa ke takde duit ni nak bayaq lebih2...cukup makan je pun. Aku pun takde gaji. hidup gantung laki ajer tau.

Aktiviti jahit,,,banyak yg tergendala. Ntah bila nak habis. Dalam otak ni nak jahit ini, itu. crochet ini itu....ntahlah bila. Tapi2 adalah jahit benda ni. takdelah tutorial senang je nak buat...tetiba siap projek spontan. Bolehlah guna bila malas nak berhand beg ... (beli banyak handbag tapi last2 guna yg cikai jugak....)



Congenital Scoliosis Hemivertebra Excision Part 2

How Aisha's Spine Looks Like (Image from google). The 2nd one : Complete unilateral failure of formation. Image from google For...